Powered by Blogger.

+Warga Bloggers+

Bersederhana Itu Kekayaan Yang Nyata

>> Wednesday, June 8, 2011

HIDUP BIARLAH BERSEDERHANA, ITU LEBIH BAIK


" Mereka yang bersifat kesederhanaan dalam semua hal tidak akan menjadi
miskin "


Jika perlu marah , marahlah tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar ; 
jika perlu menangis , menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan
tenang ;
jika perlu patuh , patuhlah tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan .

Jika mahu miskin , miskinlah tetapi jangan terlalu miskin , nanti mudah 
menjadi kufur ;
kalau mahu kaya , kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa
perkataan sedekah ;
jika mahu menjadi warak , lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan
sampai terlupa keperluan dunia . 

Kalau mahu sebuah kereta mewah , belilah selagi mampu dan menepati keperluan
semasa ;
kalau mahu dua buah rumah , belilah asal jangan sampai tak tahu makna
perkataan puas ;
kalau mahu menimbun harta , bekerja keraslah asal jangan sampai terlupa 
ibadah .

Kalau mahu berhibur , berhiburlah asal tidak terlalu sakan dan menyalahi
syariat ;
kalau mahu memperkatakan hal orang , berkatalah asal jangan sampai
mengumpat ;
kalau mahu cemburu dengan kejayaan orang , cemburulah asalkan anda pun 
berusaha kuat sepertinya .

Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya .
Bersederhana dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara ..
Orang yang terlalu kaya kadang-kadang apabila miskin terus muflis ; 
orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau ;
orang yang terlalu kuat kadang-kadang apabila lemah terus tidak tidak
berdaya .

Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba 
kepada harta ;
binalah ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia ;
binalah kedudukan di tengah manusia tetapi jangan sampai hilang kepercayaan
orang dan tercalar maruah diri .

Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk 
makan minumnya terpaksa meminta-minta . Seeloknya bersederhana dalam
beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah , membuang halangan di jalanan
juga ibadah , menasihati orang juga ibadah .

Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di mata dunia . Dia tidak akan 
hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian . Dia
terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang
mulia . Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada 
rasa dingin dan panas yang membakar .

Sayidina Ali r.a . berkata , " Berkhairatlah mengikut kemampuan dan janganlah
menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan ."

Hendak bersedekah jangan sampai jatuh miskin ; menyimpan harta jangan sampai 
digelar si bakhil , beribadah jangan sampai semakin jahil .

Kata sayidina Ali r.a . lagi , " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang
yang bersifat tawaduk dan lemah lembut ."

Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhana yang nyata , membangkitkan kasih 
sayang dan menumbuhkan cinta tulus . Jika anda impikan penghormatan manusia
maka bersederhanalah dalam berbicara , berbatas-batas tatkala bergurau senda
dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira . 

Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya .



via Blogger-Crew

0 comments:

Post a Comment

Blog template by simplyfabulousbloggertemplates.com

Back to TOP